Baca! Kronologi Kes Kemalangan Maut Lebuh Raya Duke

Posted by Blog Informasi




Memasuki hari keempat kes kemalangan maut membabitkan tiga beranak di Lebuh Raya Duke, ia masih menjadi topik perbualan ramai pihak.

Rata-rata masyarakat Malaysia mengecam tindakan enam buah kereta Perodua MyVi yang dikatakan berlumba sesama sendiri kira-kira jam 1 pagi sebelum berlakunya insiden tersebut.
Ramai yang menzahirkan rasa simpati terhadap nasib dua beradik iaitu Nur Firuza Amira, 7, dan Nur Firuza Aqila, 4, yang serta merta menjadi yatim piatu setelah kedua ibu bapa mereka, Allahyarham Fairuz Nizam Husain, 35, dan Nova Safitri Azhari, 25, bersama bayi, Nur Firuza Annisa, enam bulan, meninggal dunia.
Berikut merupakan kronologi kes berkenaan bermula pada awal pagi Sabtu (2 Mei 2015) sehingga hari ini (5 Mei 2015).
2 Mei 2015, Sabtu – Kecelakaan dilaporkan bermula kira-kira jam 1 pagi apabila enam buah Perodua MyVi dikatakan berlumba di lebuh raya tersebut sebelum salah satunya bergesel dengan Pajero Sport dipandu mangsa.
MyVi berwarna kuning yang dilaporkan berada di laluan paling kanan, meluncur laju dari arah Hulu Kelang menuju Jalan Duta sebelum merempuh bahagian sisi belakang kenderaan yang dipandu Fairuz.
Akibatnya, kenderaan Pajero yang berada di laluan tengah, masuk ke laluan paling kiri sebelum ia dirempuh pula oleh sebuah lagi MyVi berwarna putih yang turut berlumba.
Rempuhan dari belakang itu mengakibatkan kenderaan dinaiki kesemua mangsa terbalik dan berpusing, lantas menyebabkan Fairuz, Nova dan bayi mereka tercampak keluar.
Fairuz dikatakan meninggal dunia sejurus kejadian manakala Nova dan bayi meninggal dunia tidak lama selepas itu.
Pemandu MyVi kuning pula dilaporkan menghadapi kecederaan parah manakala pemandu MyVi putih hanya cedera ringan.
Tak lama selepas kemalangan berkenaan, media sosial menjadi panas dengan topik tersebut dan ia mengundang kecaman awam terutama buat satu kelab yang disertai pelumba-pelumba MyVi, iaitu Familia MyVi Club.
Lagi menambahkan kehangatan warga Internet apabila salah seorang ahli kelab tersebut bernama Yana dilihat cuba ‘menutup’ kes tersebut dan menafikan kesalahan dibuat oleh rakan-rakannya.
3 Mei 2015, Ahad – Melalui medium laman sosial, ramai pengguna berkongsi satu pesanan dari Yana tentang kejadian tersebut dan mengundang amarah ramai kerana dilihat seolah-olah ingin menafikan fakta sebenar kes tersebut.
Tulis wanita terbabit, “…Diaorang bukan berlumba. Alhamdulillah budak FMC selamat. Tolong jangan percaya pada viral-viral yang tersebar. Mereka hanya jalankan tugas sedangkan tak tahu perkara sebenar…”
Lagi membuakkan rasa marah pengguna adalah apabila individu itu turut berkata bahawa dia mengenali ‘orang dalam’, kononnya dapat membantu ahli kelab tersebut andai mereka menghadapi masalah.

Selain itu, pengguna turut mengecam pemandu-pemandu tersebut setelah salinan laporan polis yang tersebar menunjukkan seolah-olah mereka tidak mengaku bersalah.
Bukan itu sahaja, laporan yang dibuat kedua-dua pemandu turut berbeza jika dibandingkan dengan satu laporan oleh saksi kejadian yang mengakui sememangnya mereka memandu dalam keadaan laju!

Sementara itu, atas dasar tanggungjawab dan keprihatinan, wakil dari Familia MyVi Club (FMC) membuat kunjungan di kediaman keluarga mangsa.
Ujar wakilnya, Hairul Safuan, kehadiran mereka adalah untuk menjelaskan keadaan dan membersihkan nama kelab tersebut serta ahli-ahlinya yang tidak ada kena mengena dengan tragedi berkenaan.
Di laman sosial pula, satu video dari kamera litar tertutup (CCTV) yang memaparkan aksi kereta- kereta MyVi tersebut di Lebuh Raya Duke menjadi topik hangat setelah ia disebarkan.
Mana tidaknya, rata-rata pengguna membuat kesimpulan bahawa pemilik-pemilik kenderaan berkenaan sememangnya sedang berlumba.
4 Mei 2015, Isnin – Isu tersebut terus mendapat perhatian Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menegaskan pesalah dalam kes tersebut akan diambil tindakan sewajarnya.
Bukan itu sahaja, dalam satu kenyataan kepada Astro Awani, pihaknya turut tidak akan berkompromi dengan ‘orang dalam’ dan bakal mengambil tindakan andai ia benar seperti didakwa.
Memetik kenyataannya dari saluran berita tersebut, “Jangan ambil mudah apa yang berlaku, konon ada pihak yang berkata ini boleh dirundingkan, ini bukan soal berunding, ini soal nyawa.
“Konon ada laporan arwah tidak beri signal tukar lorong, kita tidak mudah terima laporan, jangan ingat pihak polis akan menutup kes ini dengan mudah.
“Jangan ingat konon ada ‘orang dalam’, saya akan pastikan ‘orang dalam’ itu pun diambil tindakan jika ada.
“Ini bukan mahu berpihak, ini soal nyawa.”

Insiden tragis itu turut mendapat perhatian pelakon utama filem Istanbul Aku Datang, Beto Kusyairy apabila dia hadir ke kediaman keluarga mangsa dan bertemu kedua-dua kanak-kanak tersebut.
Melalui laman Instagramnya, Beto berkongsi hibanya terhadap nasib Amira dan Aqila, lantas dia menyeru masyarakat Malaysia untuk membuat sumbangan.

Satu akaun Facebook, Pujangga Berbicara, telah menarik perhatian ramai apabila berkongsi satu video yang memaparkan ucapan oleh salah seorang anak mangsa, Amira yang teringin berjumpa penyanyi popular tanahair, Datuk Siti Nurhaliza.
Lantas ia menjadi viral dan dikongsi ratusan pengguna di laman sosial. Malah, ramai peminat Siti berkongsi informasi berkenaan di ruangan Instagram penyanyi itu.
Mengamati ruangan Facebook pula, beberapa laman fanpage dibuat bagi menunjukkan protes terhadap pemilik kenderaan MyVi berkenaan, juga kelab terbabit.
Antaranya, Familia MurderMyvi Club dan Belia Benci Yana Familia Myvi Club.
5 Mei 2015, Selasa – Melalui laporan BERNAMA, satu kenyataan telah dikeluarkan oleh Ketua Trafik Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mana siasatan awal membabitkan kes tersebut kini telahpun siap 90 peratus.
Menurut Datuk Mohd Fuad Abdul Latif, siasatan sedang dijalankan merangkumi aspek bagaimana perlanggaran tersebut berlaku, juga mengenal pasti individu-individu yang menjadi punca insiden berdarah itu.
Dalam satu laporan lain, Timbalan Menteri Pengangkutan Jalan Raya, Datuk Abdul Aziz Kaprawi berkata, Kementerian Pengangkutan telah mengeluarkan arahan buat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk meningkatkan penguatkuasaan terhadap perlumbaan haram.
“Kita tidak mahu pelumba haram mengorbankan lebih banyak nyawa yang tidak bersalah.”
Beliau turut berkata, pihak JPJ akan memberi tumpuan terhadap kawasan yang sering medan kaki lumba untuk melakukan aktiviti tersebut.
Awal petang tadi, Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim telah membuat kunjungan menemui kedua-dua kanak-kanak tersebut di rumah nenek mereka di Taman Batu Muda, Gombak.
Selain Ahli Parlimen Batang Lupar itu, Datuk Siti Nurhaliza dan suaminya, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa turut hadir memenuhi permintaan Amira untuk bertemunya.
Pastinya, tidak lama lagi, kes tersebut akan berjaya dirungkai dan pihak yang bersalah akan dibawa ke muka pengadilan.
Bangkai gajah pastinya tidak akan boleh ditutup dengan nyiru, kelak semua pihak akan tahu…



Post a Comment