ALOR SETAR - Seorang suri rumah menanggung kecederaan yang teruk dan lukanya dijangkiti oleh kuman, malah terpaksa mendapatkan rawatan di hospital akibat digigit dan dicakar oleh kucing peliharaannya pada pergelangan tangan dan lengan kanan.
Pada kejadian jam 5 petang, Rusita Ahmad, 50, membawa pulang Putih, kucing siamnya yang berusia 6 tahun selepas disedari keluar dari kawasan rumah. Namun tindakannya itu menyebabkan Putih naik minyak dan menyerang Rusita. Pertarungan berlangsung selama 3 minit.
Kecederaan teruk yang dialami oleh Rusita memaksanya mendapatkan rawatan di Hospital Alor Setar sebelum dimasukkan ke wad Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) berikutan jangkitan kuman pada rabu lalu.
Menceritakan semula kejadian, anak sulungnya Nurhafifi, 23, memberitahu ibunya yang Putih dilihat keluar merayau-rayau di kawasan perumahan mereka. Kucing itu sebelum itu tidak pernah keluar atau bergaul dengan kucing lain. Sebaliknya hanya berada di kawasan rumah atau dalam sangkar khas.
Dipetik dari Harian Metro:
“Saya kemudian mengekorinya sejauh kira-kira enam meter sambil memanggil nama Putih sebelum bulu-bulunya dilihat mengembang lalu menyerkupnya dengan bakul baju dan membawanya pulang ke rumah bagi dimasukkan ke dalam sangkar.
“Ketika cuba memasukkannya ke dalam sangkar dengan memegang lehernya, Putih tiba-tiba meronta-ronta sambil bergayut dan bertindak agresif menggigit pergelangan tangan kanan saya, manakala kuku kakinya yang tajam mencakar berulang kali pada lengan.
“Saya terpaksa ‘bertarung’ dengan Putih selama tiga minit dan darah menitis dengan banyak di atas lantai sebelum berjaya melepaskan gigitannya,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Katanya, sebaik melepaskan gigitan, Putih masih menjegilkan matanya berwarna kebiruan sebelum melarikan diri selepas dibaling dengan bakul baju berkenaan.
Nurhafifi yang bekerja sebagai jururawat membasuh lukanya dengan air dan sabun sebelum menyapukan iodin serta ubat.
Post a Comment