IPOH – Dua cedera parah manakala 12 yang lain cedera ringan apabila sebatang pokok tumbang dan menimpa sebuah kedai makan di Kampung Tapah, Sungai Bayor dekat Selama di sini hari ini.
Dalam kejadian 7.30 pagi itu, mangsa yang mengalami kecederaan parah Mohd Hanafi Che Wok, 76, dan Hassan Hamid, 70-an, sedang menikmati sarapan pagi dan cedera pada bahagian muka serta kepala selepas tersepit dalam kejadian itu.
Kedua-dua mangsa dirawat di Hospital Selama dan turut menerima rawatan di hospital sama, 11 mangsa termasuk seorang wanita dan seorang kanak-kanak manakala seorang lagi mangsa yang cedera menerima rawatan di klinik berdekatan dan dibenarkan pulang.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Selama Mohd Fadzeli Che Husin berkata sewaktu kejadian cuaca baik dan kedai itu terletak di simpang tiga berhadapan pokok berkenaan.
Sebelas anggota termasuk pegawai bersama sebuah jentera dan tiga kenderaan utiliti milik bomba tiba di tempat kejadian 28 minit kemudian, katanya.
Mohd Fadzeli berkata anggota bomba terpaksa menaiki dua van dan sebuah Pajero ke tempat kejadian ekoran laluan ke kampung itu sempit dan tidak boleh dilalui kenderaan berat.
“Tiba di tempat kejadian kami melihat orang awam sedang menyelamatkan mangsa yang tersepit selain membersihkan kawasan dan memotong pokok yang tumbang,” katanya.
Bagaimanapun, katanya hanya dua mangsa yang tersepit manakala yang lain dapat menyelamatkan diri.
“Ketika kejadian cuaca memang baik. Mungkin sebelum ini berlaku hujan dan pokok itu mengembang menyebabkan ia tumbang dan menimpa kedai.
“Mangsa yang cedera ringan kini melakukan pengimbasan X-ray dan sekiranya mengalami patah teruk, mereka akan dihantar ke Hospital Taiping untuk rawatan lanjut,” katanya. – BERNAMA
Post a Comment