KLUANG – “Dua hari sebelum majlis, kami ada telefon, tetapi tidak diangkat kemudian pihak katering datang ke rumah dan maklumkan segalanya berjalan lancar.
Seorang pengantin dari Kampung Kurnia, di sini, terpaksa menanggung malu apabila sajian hidangan untuk majlis perkahwinan didakwa dihantar lewat ketika majlis berlangsung, Sabtu lalu.
Mangsa yang mahu dikenali sebagai Hawa, 22, tidak menduga katering yang ditempah sejak enam bulan lalu itu akan berbuat demikian kerana bayaran sudah diselesaikan Disember lalu.
Menurutnya, malah sebelum majlis berlangsung pihaknya sudah menghubungi katering berkenaan untuk mengetahui sama ada persiapan berjalan lancar atau sebaliknya.
“Walaupun, sebelum ini kami sekeluarga ada juga terdengar pihak katering hantar lewat sewaktu majlis berlangsung, tetapi apabila ditanya pihak katering memberi jaminan mereka akan tepati masa.
“Sabtu itu (31 Mei), katering berkenaan mempunyai lebih kurang tiga tempahan majlis perkahwinan di Yong Peng, Segamat dan di tempat kami.
“Entah macam mana pada majlis berlangsung, lori katering hanya tiba pada jam 2.45 di dewan Felda Ayer Hitam.
“Tetapi sebelum lori sampai ahli keluarga ada pergi ke tempat katering lebih kurang pukul 1 lebih untuk mengambil nasi.
Hawa menunjukkan laporan polis dan senarai tempahannya kepada katering berkenaan.
“Jam 2.45 petang lori lauk-pauk baharu sampai. Bayangkan keadaan ketika itu bagaimana hendak bagi makan kepada tetamu yang hadir.
“Kami memang malu disebabkan kelewatan katering berkenaan,” katanya ketika ditemui semalam. Hawa Nazira berkata, ahli-ahli keluarga terpaksa membeli makanan di kedai makan di sekitar Kluang untuk menjamu tetamu yang datang.
Katanya, sementara menunggu makanan katering itu tiba, pihaknya membelanjakan lebih kurang RM2,000 untuk membungkus makanan dari luar semata-mata mengenangkan tetamu yang hadir.
“Pada ketika itu kami tidak tahu ingin berkata apa malah pihak katering yang sampai lambat pun hanya dihantar oleh pekerjanya sahaja bukan bos mereka.
“Kita ada telefon bos mereka, tetapi tidak dijawab dan kami juga ada telefon di pelanggannya yang menempah tempahan yang sama pada hari itu dan mereka pun menerima nasib yang sama. Makanan mereka juga datang lambat dan tidak cukup sepertimana yang ditempah sebelum ini.
“Jika pihak katering memaklumkan mereka akan lambat, kami boleh cari jalan lain bagi menyediakan makanan dan bukannya hanya berdiam diri dan kita pun ternanti-nanti mereka datang. Pada majlis itu kami memang malu sangat dan kami telah mengambil tindakan membuat laporan polis di atas apa yang berlaku.
“Ini adalah salah katering dan pihak kami telah membayar sebanyak RM8,400 kepada katering berkenaan, tetapi apa yang kami dapat makanan yang diberi tidak seperti apa yang kami tempah malah tidak mencukupi,” katanya.
Hawa Nazira berkata, pihaknya cuba menelefon katering berkenaan selepas majlis, namun gagal dihubungi malah pejabatnya di Taman Makmur juga sudah tidak beroperasi.
“Saya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas katering berkenaan di atas kelewatannya menghantar makanan,” katanya. -SinarHarian
Post a Comment