Yatim Piatu Kerana Kecuaian Orang Lain, Lelaki Ini Berkongsi Rasa Hati Beliau

Posted by Blog Informasi

Nota Editor: Berikutan kisah kemalangan di lebuh raya Duke yang mengorbankan 3 nyawa baru-baru ini, Tuan Hafizie Jamal, seorang perunding hartanah dan pengasas syarikat IHC Ilmuharta Properties, berasa terpanggil untuk berkongsi pengalamannya yang terlibat dalam kemalangan 25 tahun lalu dan mengorbankan kedua ibu bapanya. Semoga kita dapat selami kisah beliau dengan hati yang ikhlas dan mengingatkan kita untuk lebih berhati-hati dan bertimbang rasa ketika memandu. Kami di Vocket mengucapkan takziah buat keluarga mangsa dan buat keluarga Tuan Hafizie. Ikuti penulisan beliau di bawah, Al-fatihah.

Saya amat terkesan dan pilu membaca kisah 3 beranak yang meninggal dalam kemalangan jalan raya melibatkan pelumba haram meninggalkan 2 beradik yatim piatu.
Berita ini sekaligus mengingatkan sejarah hitam yang berlaku pada diri saya sendiri 25 tahun yang lalu di mana saya sekeluarga juga terlibat dalam kemalangan bersama ibu bapa dan kakak atas kecuaian orang lain.
Ramai yang tidak tahu sejarah saya, walaupun kenalan saya sendiri. Tapi hari ini saya ceritakan untuk tauladan semua.
Pada waktu kemalangan usia saya baru menginjak 2 tahun dan kakak 4 tahun. Kami sekeluarga dalam perjalanan pulang ke Melaka selepas raya.
Dalam kemalangan itu, ibu saya meninggal di tempat kejadian manakala arwah ayah meninggal di hospital. Saya dan kakak juga masing-masing mempunyai parut kekal di wajah dan kepala kesan dari kejadian itu.
Trauma dan kepedihan masih menyelubungi kami. Mungkin anda tak akan mengerti tetapi hanya Allah mengerti betapa seksanya hidup bergelar anak yatim piatu sejak kecil. Terutama bila ada pihak yang tidak berlaku adil dan cuba eksploitasi. Dunia memang kejam, bukan?

Saya sejujurnya tidak pernah mengenali ibu bapa saya atau mengingati sebarang memori bersama
mereka, tapi kerinduaan saya pada mereka tidak akan pernah padam.
Apa pun syukur pada Allah kerana masih memanjangkan umur saya dan kakak Amoi Heaxa. Juga dipanjangkan umur nenek saya tempat kami menumpang kasih.
Saya sedih mengenangkan nasib dua beradik ini. Cabaran besar pasti menanti mereka menjelang hari-hari mendatang.

Memang setiap yang berlaku atas qadha’ dan qadar Allah tapi perlukah anda menjadi punca kesedihan orang lain? Kesannya bukan pada waktu kejadiaan saja bahkan hingga kedua adik beradik malang itu membesar, bagaimana kebajikan mereka kelak?
Saya bukan mahu salahkan sesiapa, tapi tindakan mereka itu amat tidak bertanggungjawab. Saya harapkan hukuman yang setimpal buat pengajaran semua. Setidaknya mereka patut menjaga kebajikan anak-anak yatim tersebut sehingga dewasa. Itu lebih wajar bagi saya.
Buat mangsa-mangsa dan kedua ibu bapa saya, moga roh mereka dicucuri Allah dan tenang di sana. Al-fatihah.



Post a Comment