Wanita Dipenjara Simbah Minyak Petrol Di Rumah Jiran Bekas Teman Lelaki

Posted by Blog Informasi


KUALA LUMPUR: Seorang kerani bank pada Jumaat dipenjara setahun oleh Mahkamah Majistret Ampang di sini selepas didapati bersalah menyimbah minyak petrol di hadapan rumah jiran bekas teman lelakinya.

Majistret Noor Farah Hazwani Osman menjatuhkan hukuman itu terhadap Nor Melati Hassan, 47, selepas mendapati pihak pembelaan gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Mahkamah juga menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan terhadap wanita itu kerana gagal menunjukkan kad pengenalan dan memerintahkannya menjalani kedua-dua hukuman penjara itu secara serentak bermula hari ini.

Dia didakwa melakukan khianat dengan menyimbah minyak petrol di hadapan rumah milik Amar Amjad Mohd Basari, 30, di Permai Court 1, Taman Dato Ahmad Razali Ampang di sini pada 2 pagi, 13 Nov 2012.

Dia didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Nor Melati juga didakwa gagal menunjukkan kad pengenalan pada masa dan tempat sama dan didakwa mengikut Seksyen 25(1)(n) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya.

Terdahulu Ghazali Taib yang mewakili tertuduh dalam rayuannya berkata Nor Melati merupakan ibu tunggal dan mempunyai tiga anak.

Katanya anak guamnya menghidap penyakit kronik iaitu ketumbuhan di kepala tetapi tidak mampu untuk membuat pembedahan dan penyakit itu menyebabkan dia mudah pengsan.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya S. Punima berkata tertuduh tidak pernah mengemukakan laporan perubatan beliau kepada mahkamah sebagai bukti dan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal terhadap tertuduh.

>>>>>>>>sUmBer



Post a Comment